Monday 20 November 2017

UBAH KIBLAT KE KAABAH


Kisah perubahan kiblat berlaku pada tahun kedua Hijrah. Rasulullah SAW menunaikan solat menghadap ke Baitulmaqdis selama kira-kira 17 bulan, tetapi Baginda  ingin menghadap ke arah Kaabah sebagai kiblatnya.

Selepas diperintahkan Allah SWT untuk berpaling ke Kaabah, solat pertama dilakukan Baginda  ialah solat Asar yang diikuti beberapa orang sahabat. Sesudah itu, seorang sahabat keluar dari masjid dan melihat dalam masjid lain jemaah sedang rukuk dan masih menghadap ke arah Baitulmaqdis.

Perubahan arah kiblat adalah satu tamparan cukup hebat kepada kaum Yahudi yang selama ini berbangga dengan kiblat mereka iaitu Baitulmaqdis hingga mencemuh dan mengejek umat Islam kerana terpaksa bergantung dan mengikut walaupun dalam menentukan arah solat pada ketika itu.

Malah, kewajipan bersolat menghadap kiblat adalah satu perintah dan ketetapan daripada Allah dan sesiapa saja tidak boleh mempersoalkan mengapa perlu menghadap Kaabah apabila melakukan solat.

Inilah sebenarnya konsep ketaatan, kepatuhan mutlak hanya kepada Allah saja dalam apa juga keadaan dan tidak boleh disamakan dengan ketaatan kepada makhluk.
.
Berkaitan Kaabah, Rasulullah bersabda: “Kaabah itu kiblat bagi orang yang di dalam masjid, dan masjid itu bagi orang yang di Tanah Haram (Makkah), dan Haram (Makkah) itu kiblat bagi penduduk bumi dari barat hingga ke timur daripada umatku. (Hadis riwayat Al-Qurthubi)

Kemuncak peristiwa itu ialah ia melambangkan kebenaran daripada Allah  untuk kembali berkiblatkan Kaabah, sekali gus ia adalah contoh doa Rasulullah yang dikabulkan Allah. Ia kerana Rasulullah  sudah lama mengangkat tangannya berdoa dan memandang ke langit meminta pertukaran kiblat ke Kaabah.

Permintaan Rasulullah diperkenankan oleh Allah pada pertengahan bulan Syaaban.
Seterusnya, sebahagian kaum Muslimin berkata: “Kami ingin mengetahui mengenai orang yang meninggal dunia sebelum pemindahan kiblat (dari Baitulmaqdis ke Kaabah). Bagaimana juga dengan ibadat solat kami sebelum ini ketika kami masih menghadap ke arah Baitulmaqdis.”

Maka turunlah ayat 143 surah al-Baqarah yang menegaskan bahawa Allah tidak akan mensia-siakan iman mereka yang beribadah menurut ketentuan ketika itu.

Firman Allah: “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) juga akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) Dan tidaklah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk Kami mengetahui tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul (serta membenarkannya) dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya). Dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman). (Surah al-Baqarah, ayat 143)
.
Mafhumnya ayat suci di atas menegaskan kedudukan umat Islam sebagai umat pilihan dan pertengahan serta akan menjadi saksi pada hari akhirat kepada umat sebelum ini. Umat pilihan atau pertengahan itu bermaksud tidak hanya mementingkan kerohanian dan kebendaan semata-mata, tetapi wasatiyyah (berada di tengah-tengah).

Saksama dalam mementingkan dunia dan akhirat, kerohanian dan kebendaan, perseorangan dan masyarakat. Pertimbangan dan pengetahuannya mengenai baik atau buruk sesuatu perkara itu adalah adil, benar dan sah. Umat yang sedemikian, lebih layak memberi keterangan kepada orang lain.

Demikianlah hikmah dan pengajaran yang tersurat dan tersirat di sebalik peristiwa perubahan kiblat yang menjadi satu kewajipan yang perlu ditaati oleh setiap Muslim ketika menunaikan ibadat solat lima waktu ke arah Kaabah kerana kewajipan solat menghadap ke Kaabah menunjukkan konsep kepatuhan mutlak seorang muslim.

No comments:

Post a Comment